fb fb fb fb fb

Lelaki Indonesia maut jatuh dari tingkat 17 kondominium selepas tikam isteri

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki warga Indonesia maut terjatuh dari tingkat 17, di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur selepas bertengkar dan menikam isterinya pagi, semalam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata dalam kejadian pada 11.15 pagi itu, suspek berusia 44 tahun dilaporkan bertengkar dengan isterinya akibat salah faham sebelum bertindak menikamnya dengan menggunakan sebilah pisau.

“Lelaki itu kemudian melarikan diri ke arah balkoni sebelum dipercayai terjatuh dari tingkat 17 kondominium tersebut dan ditemukan mati berhampiran kolam renang tingkat bawah,” katanya.

Isteri kepada lelaki berkenaan berusia 37 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian dada, kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE