fb fb fb fb fb

Bekas teman lelaki antara tiga ditahan larikan pelajar sekolah di Kepong

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Seorang pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di ibu negara berdepan detik cemas apabila diculik dan dikurung hampir lima jam sebelum dilepaskan dalam kejadian di Kepong, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir menerusi satu kenyataan berkata kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 7 pagi di hadapan sekolah apabila mangsa dihampiri oleh seorang lelaki dan wanita yang tidak dikenali sebelum ditarik secara paksa masuk ke dalam kereta jenis Toyota berwarna putih.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah inap desa sebelum dilepaskan kembali dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan pada pukul 12 tengah hari, hari yang sama.

“Siasatan mendapati, pelajar berkenaan mengenali seorang daripada suspek yang merupakan bekas teman lelakinya dan motif kes ini ialah suspek tidak berpuas hati kerana pelajar itu memutuskan perhubungan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata kejadian itu dimaklumkan oleh guru pelajar berkenaan kepada ibu mangsa berusia 42 tahun yang kemudian membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan, Noor Ariffin berkata polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita berumur antara 19 hingga 22 tahun pada 11.30 malam hari yang sama, di sekitar Kepong yang disyaki terlibat dalam kejadian itu serta merampas sebuah kereta Toyota berwarna putih dan sebuah motosikal Yamaha.

Noor Ariffin berkata kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Selasa ini.

Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Yap Ching Chua melalui talian 019-9969649 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262222.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE