ISKANDAR PUTERI, 1 September - Polis menahan seorang lelaki berumur 37 tahun di Iskandar Puteri, Johor, pada pukul 1 pagi tadi kerana dipercayai memukul seorang pegawai keselamatan dengan batu bata dalam kejadian semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan dalam kenyataan berkata kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Gelang Patah ketika pegawai keselamatan warga Nepal itu sedang bertugas.
Beliau menjelaskan, mangsa menahan suspek daripada memasuki kawasan pangsapuri kerana tidak mempunyai kad akses sebelum suspek bertindak memukulnya dengan batu bata.
Insiden berkenaan menyebabkan mangsa cedera di kepala.
Suspek kini direman sehingga 4 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.