fb fb fb fb fb

Lelaki cuba samun maut dilanggar mangsa

Polis berada di lokasi kejadian dengan memeriksa seorang suspek telah meninggal dunia/Foto Ihsan PDRM

ALOR SETAR, 19 Mac - Cubaan tiga lelaki untuk menyamun seorang pemandu kereta mengundang padah apabila salah seorang daripadanya maut dirempuh kereta yang dipandu mangsa di Pekan Kuala Kedah di sini pagi tadi.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.39 pagi ketika lelaki yang juga pengadu berada di dalam keretanya di hadapan Farmasi Kuala Kedah.
 
"Ketika itu, pengadu mendakwa telah cuba disamun oleh 3 lelaki yang menaiki 2 buah motosikal. Salah seorang suspek telah memukul cermin kereta pengadu di bahagian hadapan menggunakan sebatang objek sehingga pecah.
 
"Akibat ketakutan, pengadu terus memecut keretanya. Semasa cuba melepaskan diri, pengadu telah melanggar salah sebuah motosikal suspek yang cuba menghalang di bahagian hadapan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
 
Kata Ahmad, akibat pelanggaran itu, seorang suspek telah meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala 2 lagi rakan suspek telah melarikan diri.
 
Katanya, dua kertas siasatan dibuka serentak iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas pengadu dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan ke atas dua orang saspek yang masih bebas.
 
Usaha untuk mengesan saksi dan suspek yang berjaya melarikan diri sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut.
 

GRACE AISYAH KEDAYAN