fb fb fb fb fb

KPDN rampas 8,177 minyak masak paket bersubsidi di Kota Kinabalu

FOTO KPDN SABAH

KOTA KINABALU, 7 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merampas 8,177 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dalam serbuan di sebuah rumah teres di Jalan Kobusak pada Ahad.

Pengarahnya Georgie Abas menerusi satu kenyataan berkata dalam serbuan menerusi Ops Tiris itu, pihaknya turut merampas 48kg gula serta menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

"Serbuan dilakukan selepas seorang pegawai penguat kuasa KPDN membuat penyamaran dengan cara menjadi pelanggan dan telah diarahkan suspek untuk datang ke alamat yang diberikan melalui aplikasi Whatsapp," katanya.

Georgie berkata serbuan dilakukan serta merta semasa transaksi jual beli berlaku dan penjaga premis yang ditemui gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli serta menyimpan barangan kawalan tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak paket 1kg bersubsidi pelbagai jenama dan gula pasir kasar 1kg yang disimpan di kawasan kaki lima serta ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

Semua minyak masak dan gula pasir tersebut seterusnya disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM20,579.30 manakala seorang penjaga premis lelaki warga tempatan berusia 27 tahun ditahan.

Menurutnya lagi, sebagai tindakan lanjut, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak masak dan gula pasir kasar dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE