fb fb fb fb fb

KPDN Kelantan lupus barangan rampasan lebih RM600,000

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail pada sidang media Program Pelupusan Barang Kes/Foto KPDN Kelantan

BACHOK, 22 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan hari ini melupuskan barangan rampasan bernilai RM607,706, termasuk kenderaan, sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Azman Ismail, berkata kesemua barangan yang dilupuskan telah selesai menjalani proses mahkamah dan menerima arahan pelupusan.

Antara barangan yang dimusnahkan ialah pakaian tiruan, wangian, aksesori pakaian wanita, peralatan komputer, beg tiruan, dan sachet minuman pra-campuran.

"Pada hari ini sahaja, kami melupuskan 19 kes dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM299,000. Pelupusan ini melibatkan barang-barang tiruan seperti kasut, seluar jeans, serta produk menggunakan logo halal palsu.

"Kes-kes ini dijalankan di bawah Akta Cap Dagangan dan Akta Kawalan Bekalan, dan barangan ini disimpan di stor eksibit kami di Chicha Menyabong terutamanya melibatkan kenderaan yang telah diubah suai," katanya pada sidang media Program Pelupusan Barang Kes, di sini hari ini.

Program pelupusan melibatkan 5 Akta berkaitan iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Katanya, sebanyak 600 kenderaan telah dirampas sepanjang tahun lalu dan tahun ini, namun proses pelupusannya masih belum selesai.

"Kebanyakan kenderaan tersebut telah diubah suai tangki bahan api untuk kegiatan penyeludupan, sehingga mampu mengisi petrol bernilai RM150, berbanding tangki biasa yang mempunyai kapasiti lebih kecil," katanya.

Tambah beliau, sebahagian kenderaan lagi dihadiahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kolej Vokasional untuk tujuan latihan.

Azman turut memberi amaran keras kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan, dengan tindakan tegas akan diambil termasuk pelucutan hak kenderaan.

Beliau juga menggesa masyarakat untuk menyokong inisiatif 'Kita Gempur' bagi membanteras aktiviti yang merugikan rakyat.

GRACE AISYAH KEDAYAN