fb fb fb fb fb

KK Mart serta dua syarikat diheret ke mahkamah esok

Kedai Serbaneka KK Mart/Foto Facebook

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Syarikat KK Mart dan Superstore Sdn Bhd akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung stoking tertera kalimah 'Allah'.

Menurut Jabatan Peguam Negara, pertuduhan itu turut membabitkan pengarah-pengarah syarikat terbabit mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam dengan cara mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran bagi tujuan jualan.

"Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarah-pengarah syarikat berkenaan juga akan dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat sebagai pembekal stoking bercetak kalimah Allah kepada Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd," menurut kenyataan itu hari ini.

Isu stoking tertera kalimah Allah mulai tular pada 13 Mac lalu menerusi media sosial selepas video dan tangkap layar mengenai produr itu dimuat naik oleh pengguna.

Stoking itu didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam dan juga boikot.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.

KK Mart dan Xin Jian Chang telah memohon maaf atas kejadian itu susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah dan terlepas pandang.

GRACE AISYAH KEDAYAN