fb fb fb fb fb

Kes warga Israel: Mahkamah tetapkan 28 Februari dengar permohonan penangguhan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 Februari depan untuk mendengar permohonan penangguhan perbicaraan melibatkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 Februari depan untuk mendengar permohonan penangguhan perbicaraan melibatkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom, atas dua pertuduhan berkaitan senjata dan peluru.

Hakim K Muniandy membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan peguam Avitan, Muhamad Aiman Haziq, berhubung isu ketiadaan jurubahasa yang berkelayakan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak peluru Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru, serta 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, selain sebatan tidak kurang enam kali.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN