fb fb fb fb fb

Kes pecah rumah pemain Selangor FC selesai, dua suspek ditahan- Polis

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan/ BERNAMA

SHAH ALAM, 2 Julai - Kes pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee selesai dengan penahanan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu di Marang, Terengganu pada 26 Jun lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kedua-duanya yang berusia 28 dan 33 tahun ditahan di Kilometer 23, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Alur Tuman.

Katanya, ia sekali gus mengesahkan bahawa insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan insiden jenayah membabitkan beberapa pemain bola sepak lain.

“Penahanan dilakukan sepasukan polis daripada Unit Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, D4 JSJ IPK Terengganu dan D4 Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

“Mereka ditahan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan itu ketika sedang dijejaki pihak polis,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini hari ini.

Menurut Hussein, dua lelaki itu mula aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak awal tahun ini dengan melakukan sembilan kes pecah rumah di Selangor, Terengganu, Pahang dan Melaka.

Beliau berkata pihaknya turut menemukan sejumlah barang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah di dalam but kereta dinaiki suspek dan siasatan lanjut terhadap mereka, polis merampas beberapa bahan bukti lain antaranya sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, beg tangan, telefon bimbit serta jam tangan keseluruhannya bernilai RM55,000.

“Mereka didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan direman seminggu hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, media melaporkan polis memburu suspek yang disyaki memecah masuk rumah Ahmad Khuzaimi dan melarikan sebuah motosikal milik mangsa di sini pada malam 22 Mei.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada pemain itu pada 11.30 malam.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI