fb fb fb fb fb

Indeks jenayah di Perak menurun

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 2 Julai- Statistik indeks jenayah di Perak mencatatkan penurunan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 1,878 kes direkodkan dengan 1,094 kes berjaya diselesaikan.

Jelasnya kejayaan itu sekali gus meletakkan kontinjen Perak di kedudukan kelima bagi keseluruhan kontinjen dengan nilai ambang sebanyak 2,781 kes.

"Ada sedikit peningkatan terhadap kes jenayah melibatkan jenayah harta benda iaitu sebanyak 250 kes berbanding tahun lepas, ianya merangkumi kes-kes seperti pecah rumah, curi motorvan, curi kereta, curi motosikal dan lain lain.

"Penyelesaian bagi kes ini telah mencatatkan sebanyak 781 kes daripada 1,488 kes yang dilaporkan,"katanya.

Tambahnya antara langkah diambil Polis Perak dalam mengawal indeks jenayah di negeri itu termasuk memperkasa rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Selain Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Khas dan sekatan jalan raya yang diadakan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian Ketika menjadi tetamu slot 'Cerita Pagi Perak' di bangunan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE