fb fb fb fb fb

Penagih dicekup selepas aksi kejar-mengejar dengan polis

FOTO IPD SEPANG

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Seorang lelaki dipercayai bawah pengaruh dadah ditahan selepas aksi kejar-mengejar dengan sebuah kenderaan MPV polis berakhir dengan kemalangan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30.

"Semasa anggota polis daripada IPD Sepang sedang bertugas rondaan dengan menaiki sebuah MPV di Jalan Cyberjaya-Dengkil, mereka mendapati sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti.

"Bagaimanapun, suspek enggan memberhentikan kenderaannya dan terus memecut laju, sebelum anggota MPV bertindak mengejar kenderaan tersebut sehingga ke Jalan Kita Impian, Cybersouth Dengkil.

"Akibat daripada kejar-mengejar telah berlaku kemalangan dengan kenderaan yang dipandu oleh suspek,"kata Wan Kamarul dlam satu kenyataan.

Susulan itu, polis menahan pemandu berusia 29 tahun itu dan semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau.

Malah suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, tetrahydrocannabinol (THC) dan Benzodiazepines.

Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu kenderaan secara gopoh atau cuai sehingga membahayakan nyawa manusia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE