fb fb fb fb fb

Kastam Pahang rampas rokok seludup ke Melaka bernilai RM1.5 juta

Kastam Pahang menunjukkan rokok yang dirampas di Pejabat Kastam Cawangan Bentong, hari ini/Foto Kastam Pahang

BENTONG, 9 September - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis rokok tanpa cukai serta sebuah lori yang terlibat dalam operasi penyeludupan, dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM1.5 juta dalam serbuan di Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana, Melaka Tengah, Melaka.

Pengarah Kastam Pahang, Mohd Asri Seman, serbuan dilakukan pada 27 Ogos lalu kira-kira 10.30 malam oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Bentong hasil daripada maklumat risikan.

Pemeriksaan di premis tersebut menemui sejumlah besar rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dan sebuah lori yang membawa muatan rokok tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"KKDN telah berjaya menemui rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tidak berkastam serta sebuah lori muatan rokok yang tidak memenuhi kriteria.

"Rokok tersebut berjumlah 1,812, 000 batang dengan anggaran bernilai RM157,440 membabitkan jumlah duti dan cukai anggaran jumlah RM1.5 juta termasuk nilai lori,"katanya dalam sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Kastam di sini, hari ini.

Tambahnya, rokok-rokok terbabit dipercayai dari negara jiran dan sebuah negara Arab cuba diseludup masuk melalui jalan laut di Selat Melaka.

Namun, tiada tangkapan dilakukan semasa serbuan itu.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat pemilik premis dan lori untuk mengenal pasti dalang di sebalik sindiket penyeludupan ini.

"Kedai tersebut di percayai digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok seludup, sementara lori pula digunakan untuk bergerak aktif pada waktu puncak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

GRACE AISYAH KEDAYAN