fb fb fb fb fb

JKDM rampas 30 kilogram dadah bernilai RM3.2 juta di KLIA

Norlela Ismail

SEPANG, 1 Julai- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas kira-kira 30 kilogram dadah bernilai RM3.2 juta ringgit dalam dua operasi baru-baru ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) dan zon bebas kargo KLIA.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata, dalam operasi pertama pada 16 Jun lepas, seorang suspek lelaki tempatan berumur 33 tahun ditahan ketika cuba mendaftar masuk sebuah kotak makanan miliknya di kaunter kira-kira pukul 7.30 malam.

"Hasil pemeriksaan rapi pasukan telah menemukan sejumlah 15 mampatan kristal putih yang disyaki dadah jenis ketamin. Dadah ini telah diisi dalam bungkusan teh dan bungkusan tersebut diisi dalam kotak makanan jenama mi segera anggaran berat kasar adalah 15.181 kilogram," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Sementara itu dalam operasi kedua pada 19 Jun lalu, Norlela memaklumkan pihaknya menemukan 14.663 kilogram pil disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di dalam kotak bungkusan kurier yang diikrar di kawasan Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang sebagai Njoy Caramel Cubes.

Bagaimanapun siasatan awal mendapati kotak bungkusan mengandungi dadah itu adalah dari negara Eropah dan dialamatkan ke sebuah syarikat.

Pihak JKDM sedang melakukan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengesan pihak yang terbabit.

Norlela berkata kedua-dua kes itu disiasat bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI