fb fb fb fb fb

58 PATI, tiga lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di kilang haram

58 PATI ditahan dalam serbuan di sebuah kilang haram di Bandar Penawar, Kota Tinggi awal pagi semalam.

KOTA TINGGI, 1 Julai- Seramai 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu serbuan di sebuah kilang haram di Bandar Tenggara dekat sini pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, serbuan pada pukul 3.30 pagi itu merupakan operasi bersepadu melibatkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam, Jabatan Kastam dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

“Kita turut menahan dua lelaki warga tempatan iaitu penjaga kilang dan 53 lelaki dan lima wanita warga asing berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, kita turut berjaya merampas satu plastik lutsinar kecil berisi serbuk ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu berat 0.46 gram daripada seorang lelaki tempatan terbabit dan ujian mendapatinya positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menahan penyelia kilang tersebut semasa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada pukul 10.30 malam tadi.

Menurutnya, semua suspek tersebut ditahan reman selamat empat hari bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 55E (1), Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambah Hussin, kes itu turut disiasat bawah 34A dan 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

ZEHRA BINTI ZAMBRI