fb fb fb fb fb

Penganggur didakwa bunuh isteri di bilik hotel

Tertuduh, Hairil Anaas Abdullah diiringi polis ketika tiba di mahkamah

BATU GAJAH, 1 Julai- Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah bilik hotel, dua minggu lalu.

Tertuduh Hairil Anaas Abdullah 37 tahun, menganguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes tersebut bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan bunuh menyebabkan kematian isterinya Nisya Syahkila Shahrun 32 tahun antara 7.30 pagi hingga 2.00 petang di sebuah bilik hotel di pekan Batu Gajah pada 20 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan.

Sebelum itu, tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh mahkamah kepada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan kes bagi menunggu laporan kimia, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan bedah siasat.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE