fb fb fb fb fb

JKDM beli 20 ekor anjing pengesan dadah, libat kos RM1.9 juta

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad ketika sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kampung Jijan pada Jumaat/Foto BERNAMA

SEREMBAN, 27 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam proses perolehan untuk mendapatkan 20 ekor anjing pengesan dadah serta tiga unit mesin pengimbas 'back scatter'.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, anjing jenis German Shepherd dan Labrador itu dijangka akan diterima Jun ini yang melibatkan kos RM1.9 juta.

"Di jabatan sekarang ni orang kata dalam proses untuk mendapatkan tambahan anjing pengesan penyeludupan dadah.

"Jadi pihak jabatan kastam sekarang ni telah pun dalam proses perolehan sebanyak 20 ekor lagi anjing pengesan dadah dan kita akan dapat anjing ini dalam bulan Jun nanti dan akan diletakkan di setiap negeri untuk mengesan dadah," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Kastam, Nilai pada Jumaat.

Beliau berkata, JKDM juga sedang melihat dan mengkaji satu mesin pengimbas di Korea Selatan yang mempunyai keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menangani kemasukan bungkusan yang mengandungi dadah ke negara ini.

"Selari perubahan teknologi, dadah kini boleh dibeli secara dalam talian dari luar negara dan dihantar melalui bungkusan syarikat kurier.

"Justeru, kita juga dalam proses perolehan untuk mendapatkan tiga mesin pengimbas jenis 'backscatter' yang sangat efektif mengesan dadah dalam bungkusan.

"Ia juga boleh dialihkan dan dibawa ke mana-mana dan bukannya dipasang di sesuatu tempat sahaja," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN