ALOR SETAR, 3 November- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah membuka kertas siasatan membabitkan isu penipuan hak milik tanah di Kuala Kedah yang tular di platform aplikasi TikTok baru-baru ini.
Menurut sumber, SPRM telah memanggil tiga individu yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan serta maklumat selain telah memperolehi beberapa dokumen berkaitan kes tersebut.
"Fokus siasatan dijalankan SPRM tertumpu kepada isu rasuah serta penggunaan dokumen-dokumen yang dipercayai palsu bagi tujuan pindah milik tanah-tanah terbabit.
"SPRM juga telah mengenal pasti individu-individu serta agensi yang disyaki terbabit dengan kes ini dan akan memanggil mereka dalam waktu terdekat bagi mendapatkan maklumat," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini sehingga siasatan selesai dijalankan.