fb fb fb fb fb

Peguam Muhyiddin mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Gua Musang hari ini/Foto BERNAMA

GUA MUSANG, 4 November - Barisan peguam bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. 

Kes itu membabitkan tuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Ogos lalu. 

Peguam bela, Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya telah memfailkan satu permohonan untuk memindahkan prosiding di Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 1 November lepas. 

Menurutnya, permohonan itu dibuat atas beberapa faktor.

Dalam prosiding berkenaan, Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri menetapkan 15 Januari 2025 untuk sebutan semula kes. 

Pada prosiding sama, Nik Mohd Tarmizie turut membenarkan pengecualian Presiden BERSATU itu daripada hadir pada prosiding sebutan semula tarikh baharu berkenaan. 

Amer Hamzah sebelum itu mengemukakan permohonan supaya anak guamnya itu diberi pengecualian atas faktor logistik dan tidak dibantah barisan pihak pendakwaan. 

Kes dikendalikan lima Timbalan Pendakwa Raya diketuai Azlina Rasdi, manakala Tan Sri Muhyiddin diwakili enam peguam yang diketuai Amer Hamzah. 

Sebelum ini, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas. 

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN