IPOH, 5 Mei - Seramai 24 orang warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menerusi OPS GEGAR ke atas sebuah pusat pelacuran dan satu pusat hiburan di sini.
Penahanan melibatkan 18 orang perempuan, seorang lelaki warga Thailand dan lima perempuan warga Vietnam.
Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun.
"Ia hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan JIM Perak di kesemua lokasi.
"Dalam operasi bermula pukul 8.00 malam pada Sabtu, sehingga 4.00 pagi Ahad seramai 25 pegawai Imigresen memeriksa 40 warga asing dan 21 warga tempatan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Kesemua warga asing ditahan kerana dipercayai melanggar Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang dikeluarkan serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk tindakan lanjut.