fb fb fb fb fb

Ibu tunggal, rakan serumah dera anak dihukum penjara tujuh tahun

Ibu tunggal dan rakan serumah yang didakwa atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya pada Ogos lalu.

JOHOR BAHRU, 1 November- Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap ibu tunggal dan rakan serumah yang didakwa atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya pada Ogos lalu.

Hakim V.M Mabel Sheela, menetapkan hukuman penjara itu dijalankan serentak bagi setiap dua pertuduhan, bermula daripada tarikh Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27 tahun, dan Awiin Chua, 30 tahun, ditangkap, pada 12 Ogos lalu.

Semasa menyampaikan hujahan pemberatan kesalahan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir memaklumkan pihaknya mengambil kira faktor umur mangsa yang tidak berupaya melindungi diri, serta jenis penderaan yang dilakukan keatas mangsa.

Nur Diyana turut menyentuh faktor kecederaan dialami mangsa dalam tempoh sebulan, iaitu 20 kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa, serta kekerapan penderaan, iaitu setiap hari dalam tempoh satu Julai hingga sembilan Ogos.

"Kekerapan setiap hari sejak 1 Julai hingga 9 Ogos berdasarkan pengesahan luka lama dan baru serta parut tubuh badan mangsa dalam laporan perubatan.

"Mangsa bukan saja dipukul tetapi turut diabaikan dengan meninggalkan mangsa keseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak menghalang atau menyelamatkan mangsa apabila dipukul," katanya.

Kedua – dua tertuduh diwakili peguam Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah, akan menjalani hukuman di Penjara Kluang, manakala mangsa kini dalam jagaan datuknya di Kedah.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kedua ibu tunggal itu ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Ogos lalu, ibu tunggal itu dan Awiin yang juga wanita berperwatakan lelaki mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, pada 27 September lalu, kedua-dua mereka menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Mabel Sheela.

Awal Ogos lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya adalah ibu kandungnya.

Kejadian menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran menyerbu rumah diduduki dua beranak itu bersama kenalan ibu mangsa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI