fb fb fb fb fb

Polis Kelantan berjaya rampas dadah Syabu seberat 521kg

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan dadah yang dirampas

KOTA BHARU, 31 Oktober- Dadah jenis syabu seberat 521 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM17.2 juta dirampas menerusi lima siri serbuan sekitar Kelantan, Rabu lepas.

Hasil serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kelantan itu turut menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand, berusia antara 20 hingga 54 tahun.
 
Kesemua bekalan dadah yang disembunyikan dalam dua buah kenderaan itu boleh digunakan 2.6 juta penagih.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari Thailand melalui jalan darat, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.
 
Sindiket berkenaan juga dikesan mulai aktif sejak Mei tahun ini dan lelaki Thailand yang ditahan berperanan sebagai pengedar di negara jiran.
 
"Pihak kita akan meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket yg masih bebas dan harta-harta yang ditangkap dan sekutunya bagi tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya Pelucutan Harta 1948.

Kita percaya bahawa sindiket ini memang ada rangkaian rapat dengan sindiket-sindiket di Thailand dan juga wilayah Shen di Myammar," kata Mohd Kamaruddin kepada pemberita dalam sidang media, di sini.

Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
 
Tambah Datuk Seri Mohd Kamarudin, saringan ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis Benzo manakala tujuh lagi suspek negatif dadah.
 
Pada masa sama, semakan rekod juga mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
 
Lima buah kenderaan yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000 turut disita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM