fb fb fb fb fb

Ibu, rakan dihukum penjara 35 tahun bunuh bayi lelaki

 KUALA LUMPUR, 12 Januari - Seorang ibu dan rakan wanitanya dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki berusia 23 bulan di sebuah rumah di Presint 5, Putrajaya, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas ibu bayi itu, Nor Aisyah Mohd Yunus, 40, dan rakan serumahnya, Noor Aisyah Ibrahim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti keterangan kesemua saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh gagal memberikan penjelasan bagaimana mangsa mendapat kecederaan sedangkan mereka mengakui mangsa berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian.

"Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun bagi setiap tertuduh bermula dari tarikh tangkap pada 4 Nov 2019," kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita itu yang merupakan penjawat awam, didakwa bersama-sama membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Jalan P5A/5 Fasa 5R4, Presint 5, Putrajaya, antara pertengahan September 2019 sehingga 4 Nov 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim, Mohd Isa Mohamed dan Noor Dayana Mohamad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Najib Zakaria dan Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Seramai 19 saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada November 2021.

Media sebelum ini melaporkan bayi lelaki berkenaan dibawa oleh kedua ibu bapanya ke Hospital Serdang dengan 89 kesan lebam, lecur, luka, calar lama dan baharu di seluruh badan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul dan keras. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN