LABUAN, 12 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Labuan (Maritim Malaysia) menahan dua kru dipercayai mencuri peralatan besi di atas laut di Jeti Liberty Labuan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata sekitar pukul 9.00 malam semalam, bot peronda sedang membuat rondaan operasi Op Sejahtera dan Op Tiris 3.0 di kedudukan 0.02 batu nautika tenggara timur laut.
"Bot peronda mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan mendapati bot dipenuhi dengan besi terpakai disyaki dicuri dari kapal kargo yang terkandas berdekatan Pulau Daat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu, dua kru bersama seorang lagi individu tidak memiliki pengenalan diri dalam bot serta besi terpakai ditahan di Jeti APMM Labuan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 474 (2) dan Seksyen 385 (3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan mengangkut atau mengalih mana-mana bahagian kapal wrek atau kargo.
Selain itu, hasil siasatan mendapati bot tersebut tidak memiliki lesen sah untuk beroperasi serta awak-awak tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491 B (ii).
Jika didapati bersalah, kompaun sebanyak RM50,000 berserta denda.