fb fb fb fb fb

Guru perempuan suspek kes tular cabul pelajar sekolah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Mac- Polis mengesahkan hantaran di media sosial yang tular berkenaan salah laku seksual seorang guru wanita berumur 37 tahun ke atas pelajar lelaki berumur 16 tahun.

Bagaimanapun satu laporan telah dibuat di Ibupejabat Polis Daerah Sepang oleh ibu mangsa, 46 tahun pada 12 Disember tahun lalu kira-kira pukul 10.30 malam. Perkara itu disebabkan kesan kemerahan pada bahagian leher anak lelakinya.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam satu kenyataan berkata, laporan itu dilakukan selepas mangsa pulang daripada ulang kaji pelajaran bersama-sama suspek iaitu guru Matematik.

"Mangsa yang sepatutnya pulang ke rumah, namun masih dengan guru Matematik di perpustakaan.

"Mangsa mendakwa telah dipeluk dan dicium oleh guru Matematik hingga meninggalkan kesan kemerahan pada leher mangsa," kata kenyataan itu.

Hasil siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Sepang mendapati kejadian itu berlaku pada tarikh kes itu dilaporkan iaitu kira-kira pukul 4.50 petang.

Namun mangsa telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan ke atas kesan kemerahan yang terdapat pada leher mangsa.

Kes disiasat bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebat.

"Pihak polis juga mengesahkan hantaran di media sosial berkenaan salah laku seksual oleh seorang guru wanita ke atas pelajar lelaki adalah benar.

"Polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat timbalan pendakwaraya untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya.

Namun pihak polis menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berhubung kejadian itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI