fb fb fb fb fb

Guru diperdaya 'phone scam', rugi lebih RM236,000

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 31 Oktober- Seorang guru mengalami kerugian lebih RM236,000 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau 'phone scam' yang menyamar sebagai pihak polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi kenyataan berkata laporan mengenai kejadian diterima pihaknya pada pukul 7.10 malam semalam.

Siasatan awal mendapati, pada 30 Ogos lalu, mangsa telah menerima panggilan daripada suspek pertama yang bertugas di Pejabat Pos Laju Melaka dan dimaklumkan terdapat penghantaran bungkusan yang tidak berjaya dihantar.

Bungkusan itu dikatakan mengandungi barang terlarang dan mangsa telah diarah membuat laporan polis sebelum talian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Mangsa kemudian telah berurusan dengan suspek kedua dan ketiga yang memaklumkan satu kad bank atas nama mangsa telah dijumpai hasil serbuan ke atas seorang penjenayah.

Satu waran tangkap kemudian dikeluarkan atas nama mangsa kerana dituduh telah menjual kad bank tersebut.

Pada 1 September, mangsa telah diarah oleh suspek ketiga untuk memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji ke Bank Islam sebanyak RM49,000 disusuli pemindahan wang daripada ASB ke Bank Islam sebanyak RM27,300, berselang tiga hari kemudian.

Pada 10 September pula, mangsa telah diarah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM150,000 sebelum wang itu dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam manakala transaksi terakhir melibatkan pemindahan wang sebanyak RM10,000 daripada Bank Islam ke akaun Maybank dipercayai bagi tujuan bayaran guaman.

Mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan di Bank Islam dan mendapati kesemua wangnya telah dipindahkan ke akaun bank lain.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM