fb fb fb fb fb

Dua penagih dadah cetak, guna wang palsu ditahan

Foto Hiasan

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober- Dua lelaki tempatan ditahan sepasukan anggota Polis Bahagian Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK IPK) Terengganu atas kesalahan membabitkan penghasilan wang kertas palsu.
 
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 33 tahun ditahan di sebuah kediaman di Kuala Terengganu pada Ahad.
 
Ketua Polis Negeri, Datuk Mazli Mazlan memaklumkan hasil penahanan dua pemuda berasal dari Terengganu dan Selangor itu, pihaknya menemui dan merampas 27 keping wang kertas bernilai RM100 pelbagai siri, disyaki palsu.
 
Turut dirampas, dua unit telefon bimbit, satu unit laptop, satu unit printer, sebuah kereta dan pelbagai alatan menghasilkan wang kertas palsu.
 
Mazli berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencetak dan menggunakan wang kertas palsu itu di sekitar Terengganu
 
"Benda ini terbongkar apabila pengadu membuat aduan berkaitan dengan wang palsu yang ditemuinya semasa membuat penutupan akaun, di kedai alat tulis, tempat dia bekerja.Setakat ini mereka berdua sahaja. Seorang pembuat wang palsu, seorang pembantu dan pengguna wang tersebut," katanya.

Tambah Mazli hasil ujian saringan awal juga mendapati kedua-duanya, positif dadah jenis methamphetamine, dan kini direman selama empat hari oleh Majistret Dungun bermula semalam.
 
Kes disiasat dibawah Sesyen 489 D Kanun Keseksaan kerana memiliki Peralatan Wang Palsu yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun, dan boleh dikenakan denda.
 
Suspek juga disiasat dibawah Sesyen 15 kurungan Satu Kurungan Sembilan, Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan peruntukan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun.
 
Untuk rekod, sebanyak 38 kes wang kertas palsu direkodkan tahun lalu di Terengganu manakala setakat tahun ini pula sebanyak 31 kes dilaporkan.

Orang ramai dinasihat agar lebih peka dan memeriksa wang kertas yang diterima terlebih dahulu serta melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat keraguan ke atas wang kertas tersebut.  
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI