MELAKA, 30 Oktober- Seramai 59 individu ditahan selepas dikesan positif dadah dalam Operasi Khas Bersepadu di sebuah pusat hiburan di Plaza Melaka Raya semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata dalam operasi bermula pukul 2.30 petang itu, seramai 108 individu diperiksa.
Beliau memaklumkan, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, seramai 59 individu masing-masing 30 lelaki dan 29 wanita berumur antara 20 hingga 60 tahun dikesan positif dadah jenis Ketamin.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga pusat hiburan itu serta dua pekerja lelaki warga asing.
"Kesemua individu yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala penjaga pusat hiburan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah," katanya.
Ujar Zainol , dua lelaki warga asing yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa permit yang sah.