fb fb fb fb fb

Gara-gara memandu tanpa lesen, polis temui mercun

Foto Hiasan

TANAH MERAH, 12 April- Gara-gara tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, seorang lelaki bertindak memecut kenderaan dan memandu secara melulu bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) di simpang tiga Taman Kota Harmoni Satu, di sini semalam.

Lelaki berusia 30-an, yang memandu kereta jenis BMW itu ditahan semasa cuba melarikan diri sejauh dua kilometer selepas membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata,
sewaktu pemeriksaan di dalam but kereta lelaki itu, pihaknya menjumpai satu kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Suspek berjaya ditahan selepas dikejar anggota polis sejauh dua kilometer. Pemeriksaan di dalam but kereta itu kemudiannya menjumpai satu kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Lelaki itu mengaku kesemua mercun itu untuk kegunaannya sendiri. Dia juga bertindak melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, siasatan lanjut mendapati, cukai jalan kereta tersebut tamat pada 8 Oktober 2021 dan tiada sebarang rekod kenderaan hilang.

Katanya, kemudian suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini untuk siasatan lanjut.

“Kes disisat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI