fb fb fb fb fb

Empat termasuk seorang wanita ditahan bersama 16 kg ganja

Datuk Fisol Salleh (DUA KIRI) menunjukkan ganja mampat yang dirampas

ALOR SETAR, 7 Januari- Tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan polis bersama 16 kilogram  dadah jenis ganja mampat dalam dua serbuan berasingan di daerah Kota Setar, Kedah, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata ganja bernilai lebih RM50,000 itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan sebuah kenderaan pelbagai guna MPV  yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kuala Alor, Jalan Alor Mengkudu pada jam 1.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang bahagian tengah kenderaan itu menemui enam balutan plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi dadah disyaki ganja anggaran berat 6.2 kilogram bernilai lebih RM19,000.

"Kedua-dua suspek masing-masing berumur  24 tahun dan 43 tahun itu mempunyai lima rekod kesalahan dadah serta kesalahan jenayah,"katanya.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, jelas Fisol, seorang lagi lelaki berusia 36 tahun  dan wanita 32 tahun ditahan pada pukul 4.10 pagi  hari yang sama.
 
"Hasil pemeriksaan  kereta yang dinaiki kedua-dua suspek, ditempat duduk penumpang bahagian belakang ditemukan  sebuah kotak di dalam terdapat 10 balutan plastik lutsinar di dalamnya mengandungi dadah disyaki ganja dianggarkan seberat lebih 10 kilogram  bernilai RM31,000.

"Suspek lelaki ketiga beralamat di Kuala Ketil itu  dan bekerja sebagai buruh serta mempunyai empat rekod kesalahan dadah dan 11 rekod kesalahan jenayah.

"Manakala wanita terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif ujian air kencing,"katanya.

Kesmua suspek direman sehingga 10 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Bahagian III ADB 1988 bagi sitaan wang tunai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE