IPOH, 7 Januari- Seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Perak dalam serbuan di 25 buah premis di sekitar Ipoh dan Gopeng, semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Sharmanrizal Rustam berkata, tangkapan tersebut membabitkan 51 orang lelaki dan 42 orang wanita termasuk dua orang kanak-kanak.
Beliau berkata, operasi yang bermula pada pukul 11 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah malam turut disertai 20 pegawai di mana pemeriksaan dibuat ke atas 119 individu.
"Kesemua yang ditangkap terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Kemboja, Laos, Filipina, Thailand dan Mesir.
“Dalam serbuan itu, pemeriksaan dilakukan di tujuh kedai, tujuh premis makanan, sebuah pusat cuci kereta, pusat hiburan, pusat rekreasi dan lapan lot penjaja swasta,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sharmanrizal siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara ini.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana telah tinggal lebih masa dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan.