fb fb fb fb fb

Sindiket pelacuran 'outcall girl' tumpas, 49 warga asing ditahan

FOTO JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Jabatan Imigresen hari ini memaklumkan telah menumpaskan satu sindiket pelacuran 'outcall girl' dengan penahanan 49 warga asing serta tiga lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter' dan penjaga premis.

Kesemua mereka ditahan dalam tiga serbuan di sekitar ibu negara, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 32 wanita warga Indonesia, 13 wanita warga Thailand, tiga wanita warga Vietnam dan seorang lelaki Afghanistan, berumur lingkungan 18 hingga 36 tahun.

Beliau berkata, sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama setahun itu mempromosikan wanita warga asing dengan menggunakan gambar mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.

“Wanita yang dipilih akan diuruskan penghantarannya ke hotel atau tempat yang dikehendaki pelanggan oleh seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai 'transporter'.

"Pelanggan akan dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM1,200 mengikut pakej yang disediakan sindiket dan transaksi dilakukan secara melalui tunai atau secara dalam talian sebelum ‘outcall girl’ diserahkan kepada pelanggan,"katanya.

Sementara itu, Jafri berkata hasil semakan awal mendapati lapan wanita Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial yang masih sah, manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.

Dalam serbuan itu, katanya sejumlah kondom, peralatan seks, lapan pasport Thailand, wang tunai sebanyak RM300, tuala, peralatan kamera litar tertutup dan sebuah kenderaan Perodua Axia turut dirampas.

Jafri berkata kesemua warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor.

“Seorang daripada lelaki tempatan yang ditahan, disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 manakala dua lagi lelaki ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE