fb fb fb fb fb

Edar dadah: Tiga termasuk wanita ditahan di Kuching

Foto RTM

KUCHING, 25 April- Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis di Kuching kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah bernilai hampir RM9,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu, tangkapan tersebut adalah hasil daripada dua operasi berasingan yang dijalankan pada Rabu dan semalam.

Dalam operasi awal pagi semalam, sepasang kekasih ditahan di kawasan parkir Taman Timberland, dan pihak polis menemui sebanyak 52.7 gram dadah jenis syabu.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, masing-masing berusia 29 dan 32 tahun, mempunyai sekurang-kurangnya 10 rekod jenayah lampau.

"Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam tangkapan berasingan di Kampung Muara Tebas pada Rabu, seorang pemuda berusia 20 tahun turut ditahan kerana memiliki kira-kira 33.45 gram dadah jenis syabu.

Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM