fb fb fb fb fb

Dua lelaki simpan, edar syabu bernilai RM4 juta dicekup polis

Datuk Khaw Kok Chin menunjukkan kepada media dadah-dadah yang dirampas

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti mengedar dadah, ditahan dalam serbuan di sekitar Desa Petaling, semalam.

Polis turut merampas syabu bernilai RM4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata dadah jenis syabu seberat 126.18 kilogram itu dirampas dalam sebuah kereta yang dipandu seorang suspek berumur 37 tahun sekitar pukul 2.40 petang hingga 5.30 petang.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas suspek pertama, polis menyerbu sebuah rumah sekitar kawasan sama dan menahan seorang lagi suspek berusia 43 tahun.

"Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran menggunakan jalan darat dan mengedarkan dadah tersebut bagi pasaran tempatan terutamanya sekitar Lembah Klang,"katanya.

Khaw berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Turut disita harta benda yang dianggarkan bernilai RM97,700 bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu dua buah kereta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan RM4.14 juta,” katanya.

Sementara itu dalam kes berlainan, Datuk Khaw memaklumkan gula-gula getah bercampur dadah seberat 3.5 kilogram (kg) antara yang dirampas dalam serbuan di dua unit kediaman yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah di Cheras dan Seri Kembangan, Selangor semalam.

Katanya, kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM5.02 juta dan sindiket mula aktif sejak tiga bulan lalu.

Jelas Datuk Khaw, polis telah menahan dua lelaki tempatan berusia 22 tahun di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Cheras dan susulan tangkapan terbabit polis menyerbu satu unit pangsapuri di lokasi sama dan sebuah unit kondominium di Seri Kembangan.

"Suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor mendapat upah RM6,000 sebulan, manakala penghantar pula diberi upah RM4,500.

"Hasil sebuan di dua stor penyimpanan dadah, polis merampas ketamin (9kg), ekstasi (7.5kg), pil erimin (4.5kg), gula-gula getah (3.5kg), kokain (1.6kg), syabu (485 gram), methylenedioxy-methamphetamine (165kg),"katanya.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama 7 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE