fb fb fb fb fb

Dua lelaki disyaki Ahlong, simbah cat merah ditahan

FOTO POLIS KOTA BHARU

KOTA BHARU, 20 Januari- Polis Kelantan menahan dua lelaki tempatan disyaki Ahlong bagi membantu siasatan kejadian simbahan cat merah di sebuah rumah di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, suspek masing-masing berusia 25 dan 26 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang individu menyatakan kediamannya disimbah cat merah pada 14 Januari lepas.

Berdasarkan keterangan individu terbabit, dia pernah membuat pinjaman wang sebanyak RM300 menerusi aplikasi 'mariwang' pada 2021 dan mendakwa hanya menerima pinjaman sebanyak RM150 sahaja.

Dia juga memaklumkan telah membuat bayaran semula berjumlah RM1,000, namun Ahlong terbabit memintanya membayar RM10,000.

“Mangsa tidak mampu membuat bayaran dan telah memadam aplikasi itu. Hasil siasatan di kediaman mangsa, polis berjaya memperoleh petunjuk dan menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Bonggor, di sini.

"Polis kemudian bertindak menyerbu sebuah kedai makan di Padang Garong dan menahan lelaki kedua," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata, polis merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk satu telefon bimbit, sebuah motosikal, sepasang kasut warna putih dengan kesan tompokon merah disyaki cat merah serta satu botol lut sinar bersaiz 1.25 liter mengandungi cecair merah disyaki cat merah.

Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Suspek pertama dilapor menerima upah sebanyak RM250 bagi setiap rumah, manakala suspek kedua menerima upah daripada suspek pertama sebanyak RM70 bagi setiap rumah.

Tambah beliau, menerusi tangkapan itu, polis percaya enam kes simbah cat di kawasan sekitar Kota Bharu dan Tumpat selesai.

2001 POLIS TAHAN AHLONG 2

FOTO POLIS KOTA BHARU

SITI AISHAH BINTI MD ISA