LABUAN, 20 Januari - Dua lelaki warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Labuan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan (bom) di sekitar perairan Pulau Tiga, di sini kira-kira 10.30 malam Rabu.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Izwanhadi Idros berkata, penahanan sebuah bot itu susulan satu operasi rondaan serta hasil risikan dan aduan awam.
"Ketika pemeriksaan dilakukan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing berusia 41 dan 44 tahun warga Filipina tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Turut dijumpai peralatan disyaki digunakan sebagai bom beserta dua tong yang digunakan untuk menyimpan hasil ikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kayu serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM20,000.
Bot dan dua lelaki berkenaan ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Labuan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.
“Aktiviti mengebom ikan adalah satu aktiviti yang bukan sahaja diharamkan dari segi undang-undang, malah turut memusnahkan ekosistem marin serta membunuh hidupan marin dan nyawa manusia,” katanya.