IPOH, 24 Julai - Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun serta 14 sebatan kepada seorang buruh kerana menipu berkaitan bantuan eKasih pada Januari hingga Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Siti Nora Sherif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara curang telah menipu 13 mangsa dengan menawarkan bantuan eKasih tidak wujud.
Dia juga telah mendorong setiap mangsa menyerahkan wang tunai dengan nilai antara RM200 hingga RM900 pada waktu dan di lokasi berbeza.
Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar Ipoh bermula 1 Januari hingga 23 Jun tahun ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya berjaya menahan suspek berusia 49 tahun itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah pada 2 Julai lalu setelah menerima 38 laporan mengenai kes penipuan berkenaan.
Modus operandi suspek dengan mendampingi warga emas berusia lingkungan antara 50 hingga 80 tahun sebagai sasaran untuk diperdayakan.