KOTA BHARU, 14 Disember- Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh bapa saudaranya di Machang, enam tahun lalu.
Hakim, Datuk Roslan Abu Bakar membuat keputusan selepas mendapati tertuduh, Muhammad Azwan Zulkarnai, 26, yang membunuh mangsa, Rosmadi Abdul Aziz, 55, yang juga sepupu ibunya, bersalah di akhir kes pembelaan.
Roslan berkata, keputusan dibuat selepas mendengar dan meneliti hujahan oleh kedua-dua pihak selain mengambil kira beberapa faktor.
"Saya mengambil kira beberapa faktor termasuk mempertimbang terdapat gangguan suara yang berterusan dialami tertuduh selain latar belakang tertuduh yang ketiadaan bapa dan dibesarkan oleh ibu.
"Faktor lain saya turut pertimbang perangai aneh tertuduh sejak kecil dan senjata yang digunakan tertuduh adalah tidak dirancang, sebaliknya ditemui ketika memecah masuk rumah si mati. Faktor yang terakhir adalah kebergantungan tertuduh kepada dadah.
"Di usia tertuduh yang kini 26 tahun dan ketika insiden berusia 20 tahun, saya berpendapat tertuduh masih mempunyai peluang bagi mengubah kesalahan yang tertuduh lakukan dan saya berpendapat hukuman penjara lebih sesuai kepada tertuduh," katanya.
Ujarnya, berdasarkan mitigasi yang dibuat peguam, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dari tarikh ditangkap dan 12 kali sebatan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan terhadap, Rosmadi Abdul Aziz bertempat di Kampung Kerilla, Temangan, dekat Machang, lebih kurang 12.30 tengah hari, pada 4 September 2017.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, Halim Ashgar.
Terdahulu, Khairul Anuar memohon hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh memandangkan perbuatan tertuduh tidak berperikemanusiaan dan tiada sebarang provokasi dibuat mangsa.