KUALA LUMPUR, 28 Februari – Pihak pembelaan yang mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Peguam M. Athimulan, yang mewakili Bung Moktar, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, permohonan semakan tersebut akan difailkan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, selepas permohonan semakan difailkan, pihak pembelaan juga akan memohon penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen sehingga keputusan semakan dibuat.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, meminta supaya permohonan penangguhan perbicaraan dikemukakan secara bertulis, selain mengekalkan tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan.
Hakim Rosli mengekalkan tarikh perbicaraan pada 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025, selain menetapkan 11 Mac untuk sebutan kes.
Pada 18 November lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 yang membebaskan pasangan itu.
Bung Moktar, 65 tahun, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette, 46 tahun, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang, pada 12 Jun 2015.