PUTRAJAYA, 10 Januari- Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan ruang siasatan berkenaan insiden melontar botol disyaki bahan molotov cocktail di kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham di kediamannya awal pagi tadi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dijalankan bawah klasifikasi Seksyen 435 Kanun Keseksaan, khianat dengan api.
Saifuddin memaklumkan pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bomba sedang mengenal pasti motif dan suspek yang terlibat.
"Insiden ini juga telah mendapat perhatian Jemaah Menteri pada hari ini dan jemaah secara konsensus mengutuk kejadian tersebut.
"Pada masa sama memohon orang ramai tidak membuat andaian atau kesimpulan yang boleh menggangu siasatan polis," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri di sini.
Saifuddin juga mengingatkan semua pihak suaya tidak mengambil tindakan melulu tanpa pertimbangan undang-undang berkenaan perbezaan pandangan.