fb fb fb fb fb

Bekas pengerusi koperasi mengaku tidak bersalah rasuah, ubah wang haram

Tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika tiba di mahkamah / FOTO SPRM

ALOR SETAR, 31 Januari- Bekas pengerusi sebuah koperasi bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas dua tuduhan rasuah dan satu pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan projek bernilai RM9.7 juta pada tahun 2016 dan 2017.      
 
Datuk Mazlan Hashim, 65 tahun, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
 
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan 10 peratus daripada nilai projek berjumlah RM9.7 juta iaitu RM970,000 daripada Pengarah Smart SL Technology Sdn Bhd.   
 
Ia sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Cadangan Merekabentuk, Membekal, Membina, Mengujiterima dan Mentauliah 1 M-Wp Solar Farm and Green House di Mukim Padang Kerbau, Sungai Tiang, Pendang, daripada Myangkasa Services Sdn Bhd.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Perniagaan Sosenati, Alor Setar pada November 2016.    
 
Bagi pertuduhan kedua, Datuk Mazlan dituduh menerima rasuah RM274,608 daripada pengarah syarikat yang sama untuk tujuan sama di sebuah bank di Alor Setar pada 19 Januari 2017.
 
Bagi kes pengubahan wang haram pula, beliau sebagai Pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad didakwa telah memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM265,000 daripada akaun koperasi ke akaun peribadi pada 19 Januari 2017.   
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusop Khan Maziah Mohaidee, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Zaharudeen Harun.
 
Selepas pengakuan, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tertuduh turut berhadapan tiga pertuduhan bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan memohon supaya kes terbabit dipindahkan dan dibicarakan secara bersama di sana.
 
Farah Ezlin memberitahu Mahkamah Sesyen Shah Alam juga telah menetapkan supaya tertuduh diikat jamin RM30,000 oleh seorang penjamin, menyerahkan pasport dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada hari pertama bekerja setiap bulan.
 
Pihak pendakwaan juga mencadangkan supaya ikat jamin dan syarat sama digunakan dalam pertuduhan hari ini.
 
Hakim Rohatul Akmar kemudian membenarkan permohonan berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE