ALOR SETAR, 31 Januari- Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini hari ini memerintahkan Naib Presiden parti Amanah, Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dianggap memfitnah Menteri Besar Kedah itu pada 2020.
Ia berhubung hantaran Mahfuz yang dimuat naik di Facebook miliknya pada 17 Oktober 2020, mendakwa Muhammad Sanusi terlibat dengan pembelian sebuah kereta mewah Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan peribadi.
Hakim, Dr Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan itu selepas membenarkan saman Muhammad Sanusi selaku plaintif, yang berjaya membuktikan tuntutannya, dan memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi am berjumlah RM200,000 dan ganti rugi teladan RM50,000 serta kos RM30,000.
Mahfuz turut diperintah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi yang perlu diterbitkan di dalam satu akhbar Bahasa Melayu dan satu akhbar Bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.
Muhammad Sanusi diwakili barisan peguam yang terdiri daripada Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan Adam Luqman Amdan, manakala Mahfuz diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah.