fb fb fb fb fb

Berang anak habiskan data internet, suri rumah dipenjara tiga tahun

Tertuduh diiringi polis ketika meninggalkan mahkamah

MELAKA, 31 Januari- Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada seorang suri rumah kerana menyimbah anak lelakinya dengan air panas, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan tersebut selepas wanita berusia 38 tahun itu mengaku bersalah.

Tertuduh bertindak demikian selepas dikatakan berang anak keduanya itu menghabiskan data internet telefon bimbitnya untuk menonton video lucah.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sungai Udang pada 2.56 pagi 27 Jun 2022 sehingga menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya, yang ketika kejadian berumur 13 tahun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum atas alasan dia memiliki lima anak termasuk seorang penghidap austisme berusia enam tahun manakala dirinya adalah pesakit psikiatri.

Dia mendakwa mengalami tekanan teruk sejak insiden itu sehingga doktor terpaksa menaikkan dos pengambilan ubatnya daripada 50 miligram (mg) kepada 100 mg setiap hari.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 8 Julai 2023.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE