fb fb fb fb fb

Bapa mengaku salah abaikan anak, ditinggal di pondok pengawal

Tertuduh, Kamarul Kamil Abd Rifin, 33 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pengabaian terhadap empat orang anaknya.

IPOH, 1 Disember- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian terhadap empat orang anaknya yang ditinggalkan di pondok pengawal minggu lepas

Tertuduh, Kamarul Kamil Abd Rifin, 33 tahun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Kejadian itu membabitkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan tiga tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Kesalahan dilakukan di hadapan Kompleks Pejabat dan Kuarters Kerajaan di Kampung Gajah pada 23 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 33(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.  

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara lantikan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada Isnin lepas, polis menahan ibu bapa kanak-kanak berkenaan dalam tangkapan berasingan selepas menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

Kejadian itu membabitkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan tiga tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata berdasarkan keterangan, adik-beradik malang itu dipercayai ditinggalkan oleh seorang wanita tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta.

ZEHRA BINTI ZAMBRI