fb fb fb fb fb

Anggota polis cedera parah ditikam ketika rondaan di Pasar Pudu

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Seorang anggota polis cedera parah selepas ditikam dengan sebilah pisau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, tengah hari tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, kejadian berlaku kira-kira jam 12.55 tengah hari ketika mangsa bersama empat anggota lain sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang suspek.

“Suspek bertindak agresif dan telah menikam anggota polis terbabit di bahagian perut sebelum melarikan diri. Mangsa yang cedera parah telah segera dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Suspek, seorang lelaki tempatan berbangsa Cina berusia 56 tahun, berjaya diberkas oleh pasukan polis tidak lama selepas kejadian untuk membantu siasatan.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan sebilah pisau sepanjang kira-kira 21.5 sentimeter serta tiga paket plastik lutsinar yang mengandungi serbuk dan ketulan berwarna kekuningan disyaki dadah.

“Suspek akan direman bermula 1 Ogos bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh menggunakan senjata dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Firdaus Sharil di talian 012-338 8164 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999.

AZRUL FAIZAL JUSOH