fb fb fb fb fb

Aktiviti memproses, menjual air ketum tumpas

FOTO RTM

SELANGOR, 8 Oktober- Taktik menyelindung aktiviti memproses dan menjual air ketum dengan perniagaan landskap kebun bunga, akhirnya terbongkar apabila Polis Selangor menyerbu premis mereka pada 3 Oktober lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pembeli pula akan menyamar sebagai pemandu e-hailing termasuk menggunakan penghantar untuk membeli air ketum terbabit.

"Kita telah menahan 2 lelaki tempatan dan 2 lelaki warga asing yang terlibat dalam memproses dan menjual air ketum.

"Kita juga telah merampas sebanyak 1,100 botol air ketum yang sedia untuk dijual. Setiap botol ini lebih kurang 500 mililiters," katanya ketika sidang media di Selangor.

Datuk Hussein turut memberitahu, segala urusan pembelian dilaksana menggunakan wang tunai sahaja dan tidak dibenarkan pembayaran secara dalam talian atau kod QR.

Serbuan ke atas premis tersebut dijalankan 12.05 tengah hari oleh sepasukan Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor.

Ia selepas hasil risikan selama dua bulan di dua buah rumah di kawasan Kampung Melayu Sungai Buloh.

Siasatan mendapati bekalan daum ketum diambil dari Perak dalam kuantiti 50 kilogram menggunakan lori dengan keuntungan boleh mencecah RM20,000 sebulan.

Suspek kini direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Trainee2