fb fb fb fb fb

Akaun peribadi Bank AmIslamic Najib dibuka untuk terima sumbangan Arab Saudi

Datuk Seri Najib diiringi pegawai penjara ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 8 November- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan pegawai penyiasat bahawa akaun peribadinya di Bank AmIslamic dibuka bagi tujuan menerima sumbangan daripada Arab Saudi.

Menurut peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pendirian itu dinyatakan Najib berikutan akaun peribadi Bank AmIslamic miliknya yang berakhir dengan nombor akaun 694, dibuka pada tahun 2011 selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Abdullah Abdul Aziz Al Saud.

Dalam prosiding pemeriksaan balas hari ini, saksi ke-48 pendakwaan iaitu Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min berkata dalam siasatan kes, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memaklumkan ketika kejadian beliau menantikan sumbangan dari Arab Saudi.

Pegawai penyiasat itu turut mengesahkan cadangan Muhammad Shafee bahawa akaun peribadi Bank AmIslamic berkenaan menerima dana dari Bank Riyad.

Ketika disoal sama ada mengetahui sumber wang yang dipindahkan oleh Putera Faisal dan Kementerian Kewangan Riyadh ke akaun Najib, saksi itu menjawab, 'Ia berasal daripada wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).'

Saksi kemudian disoal sama ada beliau menjalankan siasatan penyata akaun bank tiga dana syarikat iaitu Cistenique Inv (Cistenique), Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF) dan Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire), yang dikatakan memindahkan AS$1.59 bilion yang berasal daripada perolehan bon oleh 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL), kepada Tanore Finance Corp.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah .

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE