fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan bersama dua warga Vietnam didakwa menculik, tuntut wang tebusan RM20 juta

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 4 November - Seorang ahli perniagaan bersama dua lelaki warga Vietnam didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menculik dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta, bulan lalu.

Tertuduh, Chong Shih Ming, 46 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Manakala, dua lagi tertuduh warga Vietnam, Luong Van Tung, 39 tahun dan Tran Van Chung, 29 tahun, tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa meneruskan niat bersama menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta di Jalan Straits View Johor Bahru, pada pukul 5.00 pagi, 13 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya, manakala tertuduh diwakili Peguam K.Veeranesh.

Mahkamah membenarkan ahli perniagaan itu diikat jamin sebanyak RM50,000 berserta syarat tambahan ditetapkan manakala tiada sebarang jaminan diberikan kepada dua warga asing terbabit.

Pada prosiding itu, peguam Fairoz Elyas Majeed dan Ng Kian Pin bertindak sebagai peguam pemerhati.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November depan.

Dalam pada itu, seorang wanita warga Vietnam yang lain didakwa di Mahkamah yang sama atas tuduhan melupuskan kenderaan berhubung kait kes penculikan tersebut, dengan niat hendak mengelakkan ahli perniagaan itu daripada hukuman undang-undang.

Nguyen Ngoc Ngan, 36 tahun melakukan perbuatan itu di Jalan Keembong 39, Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada pukul 3.30 petang, 24 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Namun tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Sharmini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa dan tertuduh diwakili Peguam Goh Sze Han.  

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes juga pada, 17 November.

Trainee