fb fb fb fb fb

670 set bubu naga dirampas di perairan Kedah - APMM

Rampasan dilakukan di beberapa lokasi di perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah

ALOR SETAR, 20 Disember - Sebanyak 670 set Bubu Naga dianggarkan bernilai RM80,000 dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kedah di beberapa lokasi di perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata rampasan berkenaan dilakukan dalam satu operasi khas yang dijalankan selama dua hari pada Isnin dan Selasa.

"Pelbagai taktik  digunakan dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu, meletakkan pelampung penanda yang mengelirukan dan cubaan meletakkan bubu dalam satu tempoh masa yang berlainan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Noor Azreyanti, penggunaan beberapa alatan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang tidak berlesen dan tidak diluluskan turut dikesan dipasang pada bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.

Beliau berkata, kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN