KUCHING, 23 Jun- Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi unit di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berjaya menyekat kemasukan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) lolos ke negara ini dalam tempoh 24 jam, hari ini.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Div memberitahu, TDM telah melakukan tiga kali pengusiran setelah membuat tiga kali tangkapan berbeza di Sektor Pos GABMA Biawak ketika melaksanakan penugasan rondaan bersepadu bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD).
Pengusiran pertama melibatkan tujuh PATI yang ditahan berdekatan sebuah lorong tikus iaitu pada jarak kurang 100 meter dari sempadan Indonesia pada pukul 12.10 tengah hari.
Manakala pengusiran kedua pula berlaku pada pukul 1.45 petang setelah anggota ronda TDM terserempak dengan 20 lagi PATI pada jarak lebih kurang 118 meter dari arah sempadan Indonesia.
Pengusiran kali ketiga yang melibatkan 20 lagi PATI dilakukan kira-kira setengah jam kemudian di pos yang sama.
Sumber perisikan TDM mendapati kesemua PATI baru tamat bercuti di kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha dan dalam perjalanan untuk berkerja di Malaysia semula secara haram.
Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap 47 orang PATI yang berumur antara 18 hingga 56 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.