fb fb fb fb fb

Tiga lelaki parah dalam pergaduhan di Ipoh

Pergaduhan berhampiran Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sultan Azlan Shah Ipoh Perak (ILKKM) Tanjung Rambutan

IPOH, 23 Jun- Tiga lelaki parah dalam kejadian pergaduhan berhampiran Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sultan Azlan Shah Ipoh Perak (ILKKM) Tanjung Rambutan.

Susulan itu, polis menahan tiga individu berusia antara 23 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mangsa parah berusia lingkungan 26 hingga 36 tahun dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Mangsa pertama mengalami kecederaan hampir putus di pergelangan tangan kiri, mangsa kedua putus di pergelangan tangan kiri, manakala mangsa ketiga putus urat di tapak tangan kiri.

Rakaman percakapan semua mangsa diambil dan menyatakan telah diserang oleh kira-kira 20 suspek lelaki warga tempatan yang memakai topeng serta bersenjatakan kayu dan parang.

Kejadian pergaduhan dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan dadah.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk permohonan reman.

Polis juga sedang giat mengesan suspek-suspek yang masih bebas.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil memberi keterangan dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Ghazali di talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis berhampiran.

ROSLINA BINTI DIN